Tips Pemanduan - Menjelang Perayaan
(Penulisan ini disunting semula bersesuaian dengan persekitaran
semasa. Dibenarkan untuk suntingan dan
edaran dengan syarat dinyatakan sumber/kredit)
Menjelang Hari Raya Idil Fitri, pastinya masing-masing bersiap sedia
untuk pulang ke kampung. Bagi yang tiada
kampung, tentunya akan melawat rakan taulan.
Justeru itu, berikut adalah panduan sebelum memulakan perjalanan yang
saya garap dari pengalaman sendiri, perkongsian rakan-rakan dan juga catatan
yang pernah saya poskan ke beberapa grup suatu waktu dahulu.
Beberapa perkara yang diharap menjadi panduan kepada saudara/i apabila
ingin berjalan jauh;
1. Pastikan lampu suluh sentiasa ada dalam dashboard dan
berfungsi. Sebaiknya sediakan 2 unit.
2. Mempunyai pemantul cahaya 'triangle'. Ia perlu diletak dalam jarak 10 - 30 meter di
belakang kenderaan apabila berlaku breakdown.
3. Mempunyai talian telefon bimbit yang luas liputannya. Sebaiknya menngunakan langganan 2 talian
telco. Kalau ada Radio Amatur lagi bagus.
4. Payung.
5. Air kosong/air kotak dan makanan seperti biskut.
6. Servis kenderaan sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan. Servis di sini maksudnya buat pemeriksaan
kenderaan secara menyeluruh (enjin, tayar, tayar spare dan lain-lain) dan bukan
sekadar tukar minyak pelincir dan penapis sahaja.
7. Isi minyak kereta sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan. Apabila meter menghampiri E, dan anda bertemu
stesen minyak seterusnya, usah bertangguh walaupun anda yakin kenderaan boleh
tiba ke destinasi. Ini kerana ada
kemungkinan di hadapan sana ada kesesakan lalulintas dan sebagainya.
E maksunya Enough, bukannya Empty.
Lazimnya dengan kelajuan 50 – 70 km/j, kenderaan anda masih boleh
bergerak hingga jarak 50km. Tutup
penghawa dingin kerana ia boleh jimatkan penggunaan bahan api.
Apabila berlaku kecemasan seperti tayar pancit, berhentikan kereta di
tepi kawasan yang selamat. Hidupkan
hazard light* dan tutup atau kecilkan lampu kereta. Kenalpasti status kerosakan. Seterusnya hubungi pihak auto assist yang
sewajarnya anda langgan. Jika kereta
baru, lazimnya dah ada disediakan talian 24 jam. Maklumkan lokasi breakdown.
Jika kecemasan berlaku semasa memandu di lebuhraya dan anda perlu
berhenti di lorong kecemasan, pastikan keluarga anda berada di luar pagar
keselamatan. Bukan berhampiran
kenderaan.
Sering juga saya lihat kenderaan berhenti di tepi jalan kerana si ibu
membuat susu anak atau anak nak kencing.
Cubalah seboleh mungkin berhenti di kawasan yang jauh sedikit dari
laluan kenderaan atau selekoh jalan.
Pastikan saudara/i sentiasa awas (alert) dengan persekitaran. Kunci kereta dan jika ada yang singgah
bertanya khabar, buka sedikit sahaja cermin kereta. Usah terlalu bersangka baik dalam soal
keselamatan.
*Jangan sekali-kali memasang
hazard light semasa anda memandu kereta dalam hujan kerana ia sebenarnya
mengisyaratkan bahawa kenderaan sedang pegun (tidak bergerak). Jangan kelirukan pemandu lain!
Jika kecemasan berlaku di waktu malam, terutamanya jalan yang sunyi dan
terpencil, hubungi 999 dan maklumkan lokasi.
Mereka akan menghantar kereta peronda untuk menemani anda sehinggalah
bantuan/tow truck tiba.
Jangan lupa hubungi saudara terdekat dan maklumkan status
saudara/i. Jika ada GPS, maklumkan
koordinat GPS. Anda boleh WA lokasi anda
kepada kenalan sebagai back up.
(Saya agak hairan kenapa pihak trak tunda/auto assist/999 tak ada
sistem GPS untuk mengesan lokasi? - betulkan saya jika saya salah).
Jika anda melanggan perkhidmatan yang disediakan jenama kereta yang
anda beli (kereta baru), tunggu sehingga trak tersebut tiba. Jika ada tow truck lain, jangan terima walau
dengan apa cara sekalipun kecuali melibatkan hidup atau mati. Perayu trak tunda akan provoke saudara/i
dengan macam-macam cerita bertujuan agar saudara/i guna servis mereka. Dalam
hal ini, mental kena kuat. Kena banyakkan bersabar. Mengambil khidmat tow truck yang tidak
dilanggan untuk kereta anda akan menyebabkan banyak karenah dan masalah timbul
apabila anda nak membuat tuntutan insuran dan juga apabila nak keluarkan
kereta.
Tambahan (bagi yang ada kanak-kanak dalam kenderaan)
Sering kelihatan pemandu memangku kanak-kanak semasa memandu. Keadaan yang amat merbahaya kerana pemandu
mungkin berhati-hati. Tetapi bagaimana
dengan pemandu lain.
Begitu juga pemandu yang membiarkan anak-anak berdiri di kerusi
belakang atau membiarkan anak-anak menjenguk luar tingkap. Biarlah anak-anak menangis ketika itu, jangan
pula anda menangis kemudian daripada itu.
Lain-lain
Bacaan
Bacalah ayat-ayat al-quran serta doa memulakan perjalanan.
Co-Pilot
Ya. Semasa memandu kereta, anda
juga perlukan co-pilot. Berbual akan
mengurangkan rasa mengantuk. Biasanya
isteri. Di sini untung jika ada isteri
yang 'banyak mulut'.
Jika memandu keseorangan, anda boleh kunyah gula-gula getah, makan
kuaci. Saya pula gemar kunyah keropok
yang belum digoreng :)
Muzik
Memainkan lagu-lagu perlahan dapat menenangkan perasaan semasa
memandu. Tapi kalau dah penat, ia boleh
melenakan dan 'menghanyutkan' anda.
Maka, pasanglah lagu-lagu rancak.
Perhentian
Berhenti rehat di tempat yang dikhaskan (R & R) atau lokasi yang
selamat. Elakkan berhenti di tempat
terpencil terutamanya di waktu malam. Bukan bermaksud 'superstitious', tapi
tanyalah pada mereka yang pernah alami.
Banyak cerita telah didengari.
Kemalangan (Accident)
Jika ada insiden kemalangan dan anda ada upaya untuk membantu, utamakan
keselamatan diri anda dan keluarga terlebih dahulu. Jangan terlalu 'excited' ingin membantu
sedangkan ia boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan keluarga.
Akhir sekali, pakai tali pinggang keledar bagi penumpang depan dan juga
bagi penumpang belakang, termasuk kanak-kanan.
Jangan pandang ringan kerana anda 'memang' pemandu berhemah. Tapi bagaimana dengan pemandu lain?
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dan keluarga.
Salam ukhwah.
Shukri, ‘Shook’ H.I.
shukri@eshi2u.com
B.Pahat
Comments