Tips Memandu Menjelang Raya 2012

Salam kepada semua pembaca,

Menjelang Hari Raya Idil Fitri, pastinya masing-masing bersiap sedia untuk pulang ke kampung. Bagi yang tiada kampung, tentunya akan melawat rakan taulan.
Justeru itu, berikut adalah panduan sebelum memulakan perjalanan yang saya garap dari pengalaman sendiri dan perkongsian rakan-rakan.

Beberapa perkara yang diharap menjadi panduan kepada saudara/i apabila ingin berjalan jauh;
1. Pastikan lampu suluh sentiasa ada dalam dashboard dan berfungsi. Sebaiknya sediakan 2 unit.
2. Mempunyai pemantul cahaya 'triangle'. Ia perlu diletak dalam jarak 10 - 30 meter di belakang kenderaan apabila berlaku breakdown.
3. Mempunyai talian telefon bimbit yang luas liputannya. Sebaiknya ada 2 jenis talian telco. Kalau ada Radio Amatur lagi bagus.
4. Payung.
5. Air kosong dan makanan seperti biskut.
6. Servis kenderaan sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan. Servis di sini maksudnya buat pemeriksaan kenderaan secara menyeluruh (enjin, tayar dan tayar spare dan lain-lain) dan bukan sekadar tukar minyak pelincir dan penapis sahaja.

Apabila berlaku kecemasan seperti tayar pancit, berhentikan kereta di tepi kawasan yang selamat. Hidupkan hazard light* dan tutup atau kecilkan lampu kereta. Kenalpasti status kerosakan. Seterusnya hubungi pihak auto assist yang sewajarnya anda langgan. Jika kereta baru, lazimnya dah ada disediakan talian 24 jam. Maklumkan lokasi breakdown.

Jika kecemasan berlaku semasa memandu di lebuhraya dan anda perlu berhenti di lorong kecemasan, pastikan keluarga anda berada di luar pagar keselamatan. Bukan berhampiran kenderaan.

Sering juga saya lihat kenderaan berhenti di tepi jalan kerana si ibu membuat susu anak atau anak nak kencing. Cubalah seboleh mungkin berhenti di kawasan yang jauh sedikit dari laluan kenderaan atau selekoh jalan.

Pastikan saudara/i sentiasa awas (alert) dengan persekitaran. Kunci kereta dan jika ada yang singgah bertanya khabar, buka sedikit sahaja cermin kereta.

*sebab itulah hazard light tidak dipasang semasa anda memandu kereta dalam hujan kerana ia sebenarnya mengisyaratkan bahawa kenderaan sedang pegun (tidak bergerak). Jangan kelirukan pemandu lain!

Jika kecemasan berlaku di waktu malam, terutamanya jalan yang sunyi dan terpencil, hubungi 999 dan maklumkan lokasi. Mereka akan menghantar kereta peronda untuk menemani anda sehinggalah bantuan/tow truck tiba.

Jika anda melanggan perkhidmatan yang disediakan jenama kereta yang anda beli (kereta baru), tunggu sehingga trak tersebut tiba. Jika ada tow truck lain, jangan ambil walau dengan apa cara sekalipun kecuali melibatkan hidup atau mati. Perayu trak tunda akan provoke saudara/i dengan macam-macam cerita bertujuan agar saudara/i guna servis mereka. Dalam hal ini, mental kena kuat. Kena banyakkan bersabar. Mengambil khidmat tow truck yang tidak dilanggan untuk kereta anda akan menyebabkan banyak karenah dan masalah timbul apabila anda nak membuat tuntutan insuran dan juga apabila nak keluarkan kereta.

Jangan lupa hubungi saudara terdekat dan maklumkan status saudara/i. Jika ada GPS, maklumkan koordinat GPS.
(Saya agak hairan kenapa pihak trak tunda/auto assist/999 tak ada sistem GPS untuk mengesan lokasi? - betulkan saya jika saya salah).

Lain-lain
Bacaan
Bacalah ayat-ayat al-quran serta doa memulakan perjalanan.

Co-Pilot
Ya. Semasa memandu kereta, anda juga perlu co-pilot. Berbual akan mengurangkan perasaan mengantuk. Biasanya isteri. Di sini untung jika ada isteri yang 'mulut banyak'.
Jika memandu keseorangan, anda boleh kunyah gula-gula getah, makan kuaci. Saya pula gemar kunyah keropok yang belum digoreng :)

Muzik
Memainkan lagu-lagu perlahan dapat menenangkan perasaan semasa memandu. Tapi kalau dah penat, ia boleh melenakan dan 'menghanyutkan' anda. Maka, pasanglah lagu-lagu rancak.

Perhentian
Berhenti rehat di tempat yang dikhaskan (R & R) atau lokasi yang selamat. Elakkan berhenti di tempat terpencil terutamanya di waktu malam. Bukan bermaksud 'superstitious', tapi tanyalah pada mereka yang pernah alami. Banyak cerita telah didengari.

Insiden
Jika ada insiden kemalangan dan anda ada upaya untuk membantu, pastikan keselamatan pada diri anda dan keluarga terlebih dahulu. Jangan terlalu 'excited' ingin membantu sedangkan boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan keluarga.

Akhir sekali, pakai tali pinggang keledar bagi penumpang depan dan juga bagi penumpang belakang. Jangan pandang ringan kerana anda 'memang' pemandu berhemah. Tapi bagaimana dengan pemandu lain?

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dan keluarga.

matshi

Comments

Popular posts from this blog

Tips Bakal Pelajar Latihan Industri (Internship)

100 Tips Usahawan : Tip #013 “Sinki/Basin”