100 Tips Usahawan : Tip #004 "Menunggu Dalam Kekosongan"

Tip #004 @ yang keempat; "Menunggu Dalam Kekosongan"

Pernah ada temujanji?  Samada dengan doktor, pegawai atau dengan sesiapa sahaja.  Atau mungkin menunggu nombor giliran dipanggil di kaunter?

Anda diminta menunggu di ruang tamu.  Dengan sofa 1 + 2 + 3 dan sebuah TV yang agak kabur siarannya.  Di atas meja hanya bunga plastik.  Itu di pejabat.

Jika di ruang perkhidmatan kaunter pula, kerusi plastik disusun berlapis dengan kelihatan 4 kaunter daripada 10 kaunter dibuka.

Mengapa tidak diletakkan bahan bacaan di ruang menunggu.  Setidak-tidaknya akhbar harian atau majalah.  Waktu menunggu tak terasa jika ada sesuatu untuk dibuat.  Secara tidak langsung, empunya premis membantu pelanggan menambah ilmu di dada.

Paparan frame kelihatan bergantungan di dinding.  Tertulis pelbagai informasi yang barangkali amat berguna tetapi jarang dibaca pelanggan.  Kenapa agaknya?  Ada 4 sebab kenapa pelanggan amat jarang baca informasi di dinding premis.

Pertama; paparan dah uzur dengan maklumat yang sudah ketinggalan.  Dalam bahasa yang sadis, tiada selera nak baca.  Apa salahnya setiap 3 bulan sekali ditukar kandungan atau frame.  Staf sendiri pun boleh ditugaskan untuk menukar frame tersebut.  Jangan jadikan gantungan frame hiasan antik semata-mata.

Kedua; maklumat yang terlalu terperinci.  Tulisannya pula kecil.  Untuk habiskan membaca satu frame perlu sekurang-kurangya 3 minit berdiri.  Kalau ada 5 frame?

Ketiga; frame disangkut di belakang tempat duduk.  Bayangkan macam mana pelanggan berdiri membaca maklumat pada frame di depan seorang pelanggan lain yang sedang duduk menunggu?

Keempat; kerusinya sedikit dan pelanggan ramai.  Anda bangun sahaja terus ada yang duduk.  Ini lazim berlaku di kaunter-kaunter perkhidmatan.

Sebagai ketua unit, waktu menunggu pelanggan harus diisi sebaik mungkin.  Bantulah pelanggan anda menimba ilmu sepanjang waktu menunggu.  Lagipun, jarang benar kita lihat pelanggan menunggu sambil membaca bahan bacaan yang dibawa bersama kecuali sekali sekala menatap bil yang nak dibayar dan membaca nombor giliran.

Oleh itu, gantung frame yang ringkas tulisannya.  Mudah difahami dengan gambar yang menyenangkan.  Sediakan rak akhbar atau majalah.  Apa yang penting, maklumat sampai kepada pelanggan di samping mengisi masa menunggu.  Barulah pelanggan kurang  merungut.

Comments

Popular posts from this blog

100 Tips Usahawan : Tip #013 “Sinki/Basin”

Bangsaku...